Pelbagai penganjuran kejohanan sukan mampu lahirkan atlet berbakat

Pelbagai penganjuran kejohanan sukan mampu lahirkan atlet berbakat

SARATOK: Pelbagai program dan penganjuran kejohanan sukan mampu mencungkil dan melahirkan atlet yang berbakat yang mampu bersaing diperingkat tertinggi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Krian, Mohamad Duri berkata melalui pelbagai program pembangunan sukan, bakat para peserta terutamanya pelajar di peringkat sekolah dapat dikenalpasti dan digilap untuk menjadi atlet yang mewakili daerah, bahagian dan Sarawak amnya dalam pelbagai acara sukan.

“Seperti contoh, penganjuran temasya sukan peringkat sekolah-sekolah, ia tidak hanya memberi peluang kepada atlet mengetengahkan bakat mereka, tetapi juga landasan terbaik untuk mencungkil bakat baharu yang boleh mewakili daerah, bahagian atau negeri ke peringkat lebih tinggi.

“Justeru itu, secara tidak langsung melalui kejohanan ini akan dapat menyaksikan ada bakat baharu yang berpotensi dalam kalangan pelajar.

“Kita percaya akan ada atlet baharu berbakat. Sekaligus dapat membentuk skuad pelapis negeri Sarawak bagi menghadapi kejohanan lebih mencabar seperti Sukan Malaysia (SUKMA) pada masa akan datang,” katanya semasa berucap merasmikan Pesta Sukan Tahunan antara rumah Sekolah Kebangsaan (SK) Perpat sesi 2023/2024 dekat sini hari ini.

Teks ucapan tersebut telah dibacakan oleh Kaunselor Saee Ason yang mewakili ADUN Kalaka.

Mohamad Duri berkata SK Perpat beberapa tahun yang lepas telah menampilkan pasukan bola sepak 12 tahun ke bawah (TKB) yang mampu bersaing sehingga ke peringkat kebangsaan.

“Dan ini membuktikan atlet dan pasukan dari kawasan luar bandar juga mampu melahirkan bakat-bakat sukan yang berpotensi cerah untuk mengharumkan nama negeri, negara dan dunia,” katanya.

Mohamad Duri mahu para pelajar mengambil peluang kejohanan ini sebagai batu loncatan untuk mengasah bakat, agar pihak sekolah mampu melatih untuk menjadi atlet yang berkebolehan bagi mewakili sekolah, daerah ataupun negara satu masa kelak seperti atlet-atlet lain yang telah membanggakan nama negara masa kini.