SARATOK: Pesta Saratok adalah pentas terbaik untuk memajukan sektor sukan, riadah, pelancongan, sosial dan ekonomi masyarakat setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Krian, Friday Belik berkata bukan itu sahaja, Pesta Saratok merupakan pesta tahunan yang berperanan besar dalam pembangunan dan perpaduan dalam kalangan penduduk Saratok dan sekitarnya.

“Pesta ini juga merupakan landasan positif untuk membangun dan menggiatkan lagi sektor sosio ekonomi golongan peniaga dan penjaja tempatan. Kita melihat kebanjiran pengunjung dari dalam dan luar daerah Saratok di setiap acara dan venue program pada pesta ini.
“Bagi acara kemuncak pada pesta ini, iaitu Regata Krian yang melibatkan acara lumba perahu, kita menawarkan hadiah wang tunai yang cukup lumayan iaitu RM15,000 kepada pasukan yang bakal bergelar Raja Air Regata Krian 2024,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Perasmian Pesta Saratok 2024 di Dataran Terbuka Sri Kalaka dekat sini baru-baru ini.
Friday berkata Pesta Saratok juga merupakan lambang perpaduan dan keharmonian kerana masyarakat dapat hidup secara harmoni dan bekerjasama dalam segala hal.
“Disebabkan perpaduan itulah saya sebagai wakil rakyat dapat merancangan untuk pembangunan demi kesejahteraan rakyat seperti mana yang digariskan dalam Post Covid-19 Development Strategy (PCDS) 2030 dalam keterangkuman sosial,” tambahnya.
Pada tahun ini, Pesta Saratok 2024 dianjurkan oleh Pusat Khidmat ADUN Krian turut mengadakan beberapa aktiviti menarik seperti Regata Krian 2024 yang menawarkan RM15,000 kepada pemenang Raja Sungai Krian, Pertandingan petanque, Perkhidmatan Komuniti Bergerak (MCS) dan Sumbangan Tunai Rahmah (STR).
Selain itu tueut diadakan ialah Saratok Kitchen, Saratok Got Talent, Ratu Etnik Kontemporari, perahu berhias, pertandingan bertandak dan bermukun.
Dalam majlis perasmian tersebut, turut diserikan dengan persembahan tarian kebudayaan, tayangan montaj dan persembahan nyanyian oleh artis tempatan Saratok. Turut disampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan perahu berhias yang turut diadakan pada malam tersebut.
Turut hadir ialah ADUN Kalaka, Mohamad Duri; Ahli Dewan Negara, Senator Pele Peter Tinggom dan Pegawai Daerah Saratok, Muhammad Dino Amid.